Hongloumeng karya agung China diterjemah

Berita Harian: Ahad, 24 September 2017

hlm

KUALA LUMPUR: Penterjemahan karya agung China ke bahasa Melayu dapat membantu masyarakat Malaysia memahami kebudayaan tamadun negara itu.

Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Zainal Abidin Borhan, berkata terjemahan karya sastera asing ke bahasa Melayu juga akan membuka lebih banyak ruang kajian akademik dan memantapkan sastera terjemahan.

Zainal Abidin berkata, penterjemahan Hongloumeng karya pengarang China abad ke-18 sudah dilakukan kepada 20 bahasa tetapi ia belum terlambat untuk bahasa Melayu.

“Terjemahan ke bahasa Melayu itu dapat membantu masyarakat di negara ini untuk memahami dan mengenali kebudayaan serta pemikiran masyarakat China.

“Naskhah yang diterbitkan Yayasan Karyawan, Persatuan Siswazah Jabatan Pengajian Tionghua, Universiti Malaya (UM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 28 September ini,” katanya pada Majlis Sidang Media Memperkenalkan Naskhah Terjemahannya, Mimpi di Mahligai Merah di DBP di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Kehormat Persatuan Siswazah Jabatan Pengajian Tionghua Universiti Malaya (UM), Tan Sri Chan Kong Choy dan Timbalan Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehudin Abang Shoekran.

Sementara itu, Kong Choy yang mengkaji naskhah itu pada peringkat sarjana berkata, beliau mencadangkan naskhah itu untuk terjemahan kepada Yayasan Karyawan sejak 2007.

“Seperti naskhah ini yang mengambil masa 10 tahun untuk ditulis oleh pengarangnya, kami juga mengambil tempoh yang sama untuk menterjemahkannya.

“Ini kerana proses penterjemahan karya bukan mudah apatah lagi ia membabitkan perbezaan budaya,” katanya.

Mimpi di Mahligai Merah yang ditulis pada 1779 ialah kisah dua keluarga yang berlatarbelakangkan zaman Dinasti Qing.

By pejati